Sunday, June 17, 2012

250 unit rumah kos sederhana akan di bina di Pulau Pinang

Share

GEORGE TOWN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan pusat merancang untuk membina 250 unit rumah kos sederhana di Kampung Permatang Tok Subuh, Bukit Minyak, dalam usaha membantu mengatasi masalah perumahan di Pulau Pinang. 


Beliau berkata, Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) Jabatan Perdana Menteti (JPM) mengenal pasti kawasan berkenaan dan pembinaannya akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. 


"Masalah tempat tinggal memang satu isu yang besar, dan bagi mereka yang bekerja mungkin pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk memiliki rumah. Kita akan atasi masalah ini kerana ia perlukan penyelesaian segera. 


"Selain itu, saya juga arahkan ICU untuk mencari tapak-tapak yang sesuai dan binalah rumah, buat perancangan yang teliti," katanya pada majlis perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Dewan Tunku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.  Kira-kira 6,000 orang daripada 60 NGO hadir pada perjumpaan itu. 


Beliau berkata demikian sebagai memberi maklum balas berhubung masalah perumahan di Pulau Pinang serta rungutan golongan Bumiputera yang tidak berkemampuan memiliki rumah kerana harga yang terlalu mahal. 


Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Pulau Pinang Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan pemimpin BN negeri. 


Timbalan Perdana Menteri menyeru supaya NGO Melayu di Pulau Pinang bersatu bagi memperkasa golongan bumiputera di negeri ini untuk terus kukuh dan tidak berpecah belah. 


"Yang penting ialah perpaduan kita, Melayu Pulau Pinang tidak boleh berpecah, pimpinan NGO inilah yang akan menjadi pengikat, kita tidak boleh bercerai berai...bersatu teguh bercerai roboh...," katanya.

Beliau berkata, kerajaan pusat akan menyalurkan bantuan kewangan kepada NGO atau persatuan untuk melakukan pelbagai aktiviti bersesuaian dengan lebih berkesan. 


"Saya beri RM10,000 untuk setiap NGO yang hadir pada hari ini, saya harap ia dapat laksanakan dalam tempoh segera," katanya. 


Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa kerajaan persekutuan terus komited membantu rakyat supaya dapat sama-sama menikmati faedah yang diperoleh hasil daripada tranformasi yang dilaksanakan kerajaan. 


"Kerajaan mengambil serius kemahuan rakyat, apa lagi yang rakyat mahukan, kerajaan persekutuan memang membantu dan apa yang diutamakan ialah soal pendidikan, akan-anak kita tidak boleh diabaikan.. jangan sampai terbiar dan tercicir tidak pergi ke sekolah. 


"Saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selalu turun padang dan setiap minggu kami berdua berbincang kemudian dibawa ke kabinet untuk diputuskan bentuk bantuan yang akan diberi kepada rakyat sebagai memenuhi kehendak dan keperluan mereka," katanya. - BERNAMA
Share

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails