KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kerajaan-kerajaan negeri kini boleh memperbaharui tempoh pegangan baru tidak melebihi 99 tahun kepada mana-mana pemilik tanah berstatus pajakan yang bercadang memohon ”pembaharuan” atau ”pelanjutan” tempoh pegangan pajakan sedia ada sebelum tempoh pegangan tersebut luput.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu terkandung dalam kertas panduan yang menjamin “pembaharuan” atau “pelanjutan” tempoh pegangan pajakan itu yang telah dipersetujui di dalam Mesyuarat Ke-66 Majlis Tanah Negara di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu akan dapat memenuhi kehendak rakyat yang sebelum ini bimbang akan kehilangan tanah mereka.
Bagaimanapun, pegangan baru itu hanya akan dibenarkan sekiranya tanah tersebut tidak diperlukan oleh kerajaan untuk tujuan awam, katanya.
Muhyiddin berkata, pelaksanaan dasar itu merupakan panduan kepada kerajaan negeri dengan termaktub kepada enam syarat utama termasuk hanya terbuka kepada tanah pajakan berkategori “bangunan” atau “perusahaan” atau “pertanian”.
"Pemilik tanah boleh memohon pada bila-bila masa untuk menyambung pajakan dan tidak terikat dengan baki pajakan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, pemohon dikehendaki membuat permohonan serentak bagi menyerahbalik tanah mengikut seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) dan Borang Jadual 1 Kaedah Tanah Negeri untuk pemberimilikan tanah mengikut tatacara perundangan sedia ada di bawah KTN dan kaedah-kaedah Tanah Negeri.
Pelanjutan tempoh pegangan baru juga tidak boleh melebihi 99 tahun sekiranya tanah tidak diperlukan oleh kerajaan untuk tujuan awam selain tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis berkuatkuasa, katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment