Sunday, January 23, 2011

SPNB bina rumah mesra keluarga

Share

PUTRAJAYA 23 Jan. - Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) akan menjalin kerjasama strategik dengan anak syarikat kerajaan negeri bagi membina rumah mampu milik yang berharga antara RM35,000 hingga RM100,000 di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Ir. Idris Haron berkata, kerjasama sedemikian penting bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah di seluruh negara memiliki rumah yang selesa dan mesra keluarga.
''Buat masa ini SPNB akan menjalin kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Perlis, Perlis Holdings bagi membina kira-kira 1,500 unit rumah mampu milik di negeri itu.

''Seandainya tidak ada sebarang masalah, projek perumahan melibatkan kawasan seluas 52 hektar berdekatan Universiti Malaysia Perlis itu akan dilancarkan pada pertengahan bulan depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

SPNB yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 itu adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.).

Idris berkata, rumah itu akan mempunyai tiga bilik tidur dan dilengkapi kemudahan dua bilik air.
Malah, beliau menambah, rumah yang berkonsep mesra keluarga dan selesa itu mempunyai keluasan antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi.

''Rumah yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana itu terbuka untuk jualan kepada semua warganegara kecuali kos rendah dan ia tertakluk kepada syarat-syarat kerajaan negeri," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, kini SPNB sendiri sedang membina lebih 15,000 buah rumah mampu milik yang bernilai RM1.8 juta seluruh negara.

''Projek perumahan itu adalah hasil kerjasama dengan beberapa buah syarikat swasta dan agensi kerajaan pusat serta negeri," katanya

http://www.utusan.com.my/
Share

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails