Sunday, January 16, 2011

Harga FLAT RM200,000 untuk 4 tahun lg..

Share
Harga flet RM200,000


2011/01/16


HARGA flet kos rendah dijangka meningkat kepada RM200,000 menjelang 2015.



Jualan semula hartanah di pasaran terbuka diramal meningkat

KUALA LUMPUR: RM200,000! Itulah unjuran harga jualan semula sebuah rumah flet kos rendah di bandar utama negara ini di pasaran terbuka, dalam tempoh sekurang-kurangnya empat tahun lagi.

Anggaran kenaikan harga sehingga 400 peratus berbanding hanya di bawah RM50,000 sekarang adalah berasas jika mengambil kira harga jualan semula dan nilai hartanah semasa.


Berdasarkan laporan, unit baru rumah dan jualan semula hartanah di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu, flet adalah kategori kediaman yang mendapat permintaan tinggi dengan peningkatan jualan sebanyak 50.4 peratus berbanding 2009.

Jualan flet baru di pasaran terbuka berharga RM50,000 hingga RM150,000 berada di tangga kedua selepas kondominium dan apartmen berharga RM50,000 hingga lebih RM1 juta, tetapi jumlah itu tidak termasuk rumah dijual semula.


Namun, rakyat Malaysia bertuah kerana kerajaan mewujudkan sistem kawalan, pemberian subsidi serta pelbagai bantuan bagi membolehkan mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan rumah sendiri, khususnya flet dan kediaman kos rendah pada harga amat istimewa.

Bagaimana pula dengan kelompok rakyat di luar kategori itu, iaitu mereka yang memperoleh pendapatan lebih sedikit daripada RM3,000.

Jika benar sebuah flet berharga RM200,000, ia pasti membimbangkan banyak pihak terutama pembeli baru yang majoritinya berusia bawah 30 tahun dan masih belum stabil kedudukan ekonomi mereka, termasuk kemampuan memiliki rumah sendiri, sama ada membeli unit baru atau terpakai.

Apa yang pasti berdasarkan rekod sebelum ini, harga rumah tetap meningkat setiap tahun berdasarkan statistik dalam indeks purata bagi rumah berharga bawah RM50,000 hingga lebih RM1 juta membabitkan flet kos rendah hingga ke kediaman mewah.

Mengikut indeks berkenaan, kenaikan paling tinggi direkodkan tahun lalu iaitu sebanyak enam peratus (RM11,082) berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor, berkata kenaikan harga juga membabitkan semua jenis rumah termasuk rumah kos sederhana (teres) dan kediaman mewah, terutama di bandar besar.

Ia berkait rapat dengan faktor tanah semasa, kos pembinaan, permintaan serta lokasi dengan trend pembelian hartanah yang bertumpu di kawasan bandar. Namun, harga rumah kos rendah masih dikawal pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijual antara RM25,000 hingga RM42,000 mengikut lokasi, katanya.

Sepanjang sembilan bulan pertama tahun lalu, sebanyak 28,850 unit rumah baru pelbagai jenis dan harga dibina dan 12,339 berjaya dijual di seluruh negara. Jumlah itu meningkat 42.8 peratus (5,281 unit) berbanding tempoh sama tahun 2009. Jumlah rumah sama dijual pada 2000, dengan harga purata RM140,112 tetapi mencecah RM197,022, tahun lalu.

Harga rumah akan terus melambung jika kediaman itu dilengkapi perkhidmatan kawalan keselamatan dan kemudahan kolam renang, gimnasium. Walaupun sentiasa meningkat, rakyat kena yakin untuk buat pelaburan hartanah rumah kerana ia salah satu pelaburan besar.

Contoh paling mudah, sebuah rumah flet yang dibeli di Petaling Jaya pada harga RM35,000 ketika 1990-an lalu, kini sudah meningkat kepada hampir RM200,000, katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan kadar kenaikan tahunan kira-kira tiga peratus, beliau yakin harga rumah di Malaysia masih pada tahap rendah dan tidak mengalami sindrom gelembung hartanah ketara seperti di Singapura dan Hong Kong yang mencatatkan kenaikan antara 50 hingga 100 peratus setahun.

Fateh Iskandar turut membandingkan harga kenderaan yang berubah mengikut purata masa dan susut nilai yang dianggap perkara biasa, tetapi jika harga rumah semakin merudum, ia membuktikan ekonomi negara tidak stabil.

Mengikut statistik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah jualan kediaman baru tahun lalu meningkat sebanyak 42.8 peratus (5,281) berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah 12,339 bagi semua jenis rumah.

Faktor peningkatan populasi akibat penghijrahan penduduk ke kawasan bandar juga menyebabkan permintaan terhadap kediaman baru semakin meningkat berbanding 20 tahun lalu dengan anggaran pertambahan populasi di kawasan bandar kini mencecah 60 peratus.



Sumber
Share

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails