Thursday, November 4, 2010

UEM Land Buat Tawaran Bersyarat Utk Ambil Alih Sunrise Bagi Sejumlah RM1.39 Bln

Share
UEM Land Holdings Bhd, anak syarikat milik 77.1 peratus UEM Group Bhd, mencadangkan tawaran sukarela bersyarat untuk mengambil alih Sunrise Bhd bagi sejumlah RM1.39 bilion atau RM2.80 sesaham.

Cadangan itu jika menjadi kenyataan, akan mewujudkan satu entiti syarikat hartanah Malaysia yang diperbesar dengan gabungan pemodalan pasaran melebihi RM9.0 bilion, jumlah keluasan tanah kira-kira 4,672.2 hektar dan aset kira-kira RM5.0 bilion.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Land Datuk Wan Abdullah Wan Ibrahim berkata cadangan pengambilalihan itu akan meningkatkan pendapatan UEM Land berikutan prestasi kewangan Sunrise yang mampan dan kepakarannya dalam mengurus kediaman tinggi dan hartanah komersil.

“Kami menganggap cadangan pengambilalihan itu sebagai bersinergi dan melengkapkan kedua-dua pihak memandangkan ia merupakan gabungan pemaju bandar makro dan pemaju hartanah khusus,” katanya pada taklimat media mengenai proses korporat itu di sini Khamis.

Beliau berkata pengambilalihan itu akan membolehkan UEM Land menyertai dalam pembangunan Sunrise di Lembah Klang termasuk Mont Kiara/Dutamas, di sekitar KLCC dan projek-projek seterusnya di Kajang dan Shah Alam.

Sunrise, merancang melancar empat projek dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM3.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2011 dan jualan yang belum dibilkan sebanyak RM861 bilion sehingga 30 Jun, 2010.

Menerusi proses korporat ini, ia akan dapat menyertai pembangunan UEM Land di Nusajaya dan memain peranan penting dalam mentransformasi Iskandar Malaysia menjadi metropolis yang kukuh dan mampan di peringkat antarabangsa.

Wan Abdullah berkata jika tawaran itu berjaya, UEM Land akan mengekalkan jenama Sunrise dan kakitangannya.
UEM Land sudah menerima keputusan yang tidak boleh dibatalkan daripada pemegang saham utama Sunrise, iaitu Datuk Tong Kooi Ong, Datuk Allan Lim dan Tan Sri Tan Chee Sing, untuk menerima tawaran itu berdasarkan kepentingan mereka sebanyak 40.3 peratus.

Apabila selesai, Tong yang kini pengerusi eksekutif Sunrise akan dilantik sebagai pengarah pengarah UEM Land dan beliau akan mempengerusikan jawatankusa pembangunan UEM Land dan Sunrise, yang dianggotai Wan Abdullah dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif/UEM Group Bhd Datuk Izzadin Idris.

Pada masa yang sama, Izzadin dan Wan Abdullah akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Sunrise dengan Wan Abdullah menjadi pengarah urusan Sunrise.
Tong kekal sebagai pengerusi Sunrise.

Menerusi pengambilanan tawaran sukarela itu, pemegang saham Sunrise boleh menerima sama ada 1.33 saham baharu biasa UEM Land pada harga 50 sen sesaham pada RM2.10 sesaham atau 2.8 saham pilihan boleh tukar boleh tebus (RCPS) pada harga terbitan RM1.00 sesaham bagi setiap saham yang dimiliki.

Tawaran itu bersyarat selepas penerimaan UEM Land menerima lebih daripada 50 peratus saham Sunrise daripada pemegang saham.
Sebaik menerima tawaran, Sunrise akan menjadi anak syarikat UEM Land dan selepas penyelesaian tawaran, UEM Land akan mendapatkan penyahsenaraian Sunrise jika tidak mempunyai syarat tebaran awam pemegangan awam untuk mengekalkan status penyenaraiannya di Bursa Malaysia.
Cadangan pengambilalihan itu juga tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti, pemegang saham UEM Land dan Bank Negara Malaysia untuk terbitan RCPS.

Tempoh RCPS ialah dua tahun dan tidak mempunyai hak untuk dividen dan ia tidak akan disenarai.
RCPS boleh ditukar kepada saham UEM Land pada RM2.30 sesaham pada bila-bila masa tempoh RCPS, dan boleh ditebus pada 100 peratus harga terbitan hanya ketika matang.

Saham-saham Sunrise dan UEM Land digantung sejak semalam dan kembali didagangkan pada Isnin.
Harga terakhir Sunrise ialah RM2.52 manakala UEM Land pada RM2.26.

– BERNAMA
Share

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails