Monday, November 29, 2010

Kota Bharu bakal miliki kompleks gaya hidup sihat

Share

Melihat kepada kekurangan tempat bersantai bersama keluarga dan beriadah di Kota Bharu, Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V, menyarankan kepada seorang pemaju untuk membangunkan sebuah kompleks mempromosikan gaya hidup sihat di Kota Bharu.

Pemaju berkenaan, Datuk Dr. Stanley Chew yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Kristana Holdings Sdn. Bhd., ketika diajukan cadangan itu dua tahun lalu terus sahaja menerimanya kerana beliau sudah dapat melihat prospek cerah terbentang di hadapan mata.

"Kita lihat ramai rakyat Kelantan tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti yang sihat dan beriadah, jadi apabila Tuanku Sultan Muhamad V (yang ketika itu masih lagi Tengku Mahkota Kelantan) membuat cadangan ini, saya terus sahaja bersetuju., "katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kompleks ikonik yang diberi nama QueensPark SportCity and Boulevard ini merupakan kompleks rekreasi, sukan dan hiburan bersepadu pertama di Malaysia yang terdiri daripada dua blok bangunan iaitu kompleks sukan dan boulevard.
Kompleks sukan dan rekreasi setinggi tiga tingkat itu menawarkan kemudahan bertaraf dunia antaranya gelanggang futsal yang mengikut standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pusat snuker dan pool terbesar serta pusat boling 36 lorong.

Ia juga menyediakan gelanggang kasut roda bermuzik pertama di negeri itu manakala boulevard pula menekankan konsep gaya hidup moden sesuai untuk bersantai dan berhibur bersama keluarga.
Ia menawarkan 68 lot kedai yang meliputi kafe berkonsep alfresco atau terbuka (open air), kedai serbaneka 24 jam, bank dan restoran makanan segera termasuklah pandu lalu dan hidangan antarabangsa.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan alunan muzik tradisional masyarakat Kelantan seperti dikir barat sambil menikmati hidangan di boulevard.

Menurut Chew, bagi memastikan Queenspark mengekalkan jati diri rakyat Kelantan dan dalam masa yang sama memperkenalkan keistimewaan makanan-makanan dari negeri itu, pihaknya amat selektif dalam memilih penyewa kedai.

Jelas beliau, 70 peratus daripada penyewa perlu memastikan makanan yang disediakan adalah bercirikan negeri tersebut.

Chew berkata, lokasi QueensPark SportsCity and Boulevard amat strategik kerana ia dikelilingi oleh kawasan rekreasi iaitu Taman Perbandaran Tengku Anis dan Kompleks Taman Budaya.

Ia juga hampir dengan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Pantai Cahaya Bulan, kawasan perumahan dan komersial.

Projek ini akan dilancarkan tahun depan dengan harga jualan bagi lot runcit adalah di antara RM220 hingga RM250 sekaki persegi.

- Utusan Malaysia
Share

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails