Thursday, November 4, 2010

BNM Laksana 70 Peratus Nisbah Pinjaman Kepada Nilai Bagi Pembiayaan Rumah Ketiga

Share
Bank Negara Malaysia Rabu mengumumkan pelaksanaan nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) maksimum sebanyak 70 peratus, berkuat kuasa serta merta yang akan terpakai bagi kemudahan pembiayaan rumah ketiga oleh peminjam.

Menurut bank pusat, kemudahan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama dan kedua tidak terjejas dan peminjam akan terus memperoleh pembiayaan bagi pembelian ini pada paras LTV sekarang ini yang dikenakan bank individu berdasarkan kepada dasar kredit dalaman mereka.

"Langkah ini bertujuan untuk menyokong pasaran hartanah yang stabil dan mampan serta menggalakkan rumah mampu milik untuk orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut bank pusat itu, dengan harga hartanah kediaman meningkat dengan kukuh seiring dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan paras pendapatan, trend pertumbuhan agregat kekal boleh diurus.

Bagaimanapun, lokasi khusus terutamanya dalam dan sekitar pusat bandar mengalami pertumbuhan pantas dalam jumlah urusniaga dan dalam harga rumah.

Bank Negara berkata ini terus disokong oleh kenaikan dalam pembiayaan yang disediakan untuk pelbagai pembelian unit oleh peminjam tunggal, yang menunjukkan kenaikan aktiviti pelaburan yang merupakan spekulatif, kata Bank Negara.

Ia berkata pelaksanaan nisbah LTV yang disasarkan itu dijangka menyederhanakan pelaburan yang banyak dan aktiviti spekulatif dalam pasaran hartanah kediaman yang menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi daripada purata di lokasi sedemikian.

"Ini juga telah membawa kepada kenaikan dalam harga rumah di sekitar lokasi, dengan itu menyumbang kepada penurunan keseluruhan rumah mampu milik bagi pembeli rumah sebenar.

"Oleh itu langkah ini kekal menyokong objektif menggalakkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia yang terus menjadi agenda penting negara," kata bank pusat.

Dalam perkembangan lain, Bank Negara mengumumkan pengenalan program kemampuan kewangan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan paras literasi kewangan, menggalakkan kewangan yang baik dan pengurusan hutang oleh rakyat Malaysia.

Program itu akan ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit melalui cawangannya di seluruh negara dan akan bermula Januari 2011.

"Program ini bertujuan melengkapkan individu dengan pengetahuan untuk keputusan kewangan yang bertanggungjawab dengan mendapat pemahaman praktikal dan kemahiran dalam pengurusan wang dan hutang," katanya.

Bank Negara berkata program menyumbang ke arah mengekalkan kedudukan kewangan isirumah yang baik dan memastikan pengumpulan hutang sepadan dengan kemampuan isirumah, termasuk kemampuan mereka menyerap pelarasan kadar faedah dan potensi turun naik paras perbelanjaan dan pendapatan.

"Individu, terutamanya peminjam prospektif yang baru dan dewasa muda, digalakkan mengambil bahagian dalam program yang direka bentuk khas.

"Maklumat pelaksanaan program ini akan diumum pada Disember," katanya.


-- BERNAMA 
Share

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails