Wednesday, December 15, 2010

Banyak Syarikat Lembah Klang Kini Berminat Pindah Operasi Ke N. Sembilan

Share
Banyak syarikat dan industri kini berminat memindahkan operasi dari kawasan Lembah Klang seperti di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Klang ke kawasan Sendayan, Enstek dan sekitar Negeri Sembilan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan stratejik kawasan perindustrian yang terdapat di negeri ini dapat menarik perhatian pengusaha dan pihak industri.

“Mereka merasakan tidak perlu lagi berada di kawasan Lembah Klang dan mahu mengalihkan operasi masing-masing ke Negeri Sembilan agar kos operasi akan lebih rendah sambil boleh merealisasikan nilai tanah di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya ini bermakna mereka boleh merealisasikan nilai sebenar tanah masing-masing di Lembah Klang.
“Jika syarikat ini syarikat yang tersenarai di bursa saham, mereka boleh menilai semula hartanah mereka dan akan meningkatkan nilai harta tetap masing-masing dan ini akan menambah nilai urusan bursa saham syarikat yang tersenarai di bursa saham,” katanya.

Faktor lain (yang mendorong langkah itu), katanya ialah bagi menjaga kebajikan para pekerja kerana Kuala Lumpur berhadapan kos sara hidup yang tinggi.

Langkah itu dapat mengurangkan bebanan para pekerja kerana kos sara hidup di sini lebih 50 peratus lebih rendah, terutama sekali dari segi kos sewa rumah, katanya.

Mohamad berkata, pada Rabu, dua syarikat menandatangani pembelian tanah di Bandar Baru Sendayan untuk memindahkan operasi perniagaan dari Klang. Syarikat berkenaan telah pun menjual tanah masing-masing di Klang.

Kerajaan negeri juga sedang meneliti permohonan dua syarikat elektronik dari Jepun dan Korea itu untuk beroperasi di Sendayan dengan nilai pelaburan lebih RM2 bilion.

“Walau pun banyak syarikat hendak memindahkan operasi ke sini, kita perlu menapis syarikat ini dan hanya membenarkan industri yang tidak memudaratan kepada alam sekitar dan rakyat membuka operasi mereka di sini,” katanya.

Antara daya tarikan lain yang masih terdapat di negeri ini, katanya termasuk adanya sistem pengangkutan yang baik dan berhampiran dengan kemudahan seperti lapangan terbang dan pelabuhan, yang membantu meningkatkan pelaburan ke negeri ini.

“Kita tidak menghadapi masalah mencapai KPI untuk menerima pelaburan baru RM1 bilion setiap tahun. Setakat tahun ini saja, kita telah memperolehi hampir RM4 bilion pelaburan baru yang meliputi perkilangan, peruncitan dan perkhidmatan.

“Ini satu perkembangan yang amat menggalakkan. Kerajaan negeri akan terus menjalankan segala aktiviti terutama untuk memastikan sistem penyampaian kita akan lebih cekap untuk menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

– BERNAMA
Share

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails